Penulis Unlocking ADHD Tahirah Mohamed berkongsi perjalanannya dalam menyokong anaknya yang mengalami ADHD. Tahirah berasa kecewa dan hilang arah apabila dia mula-mula mengetahui anaknya mempunyai ADHD. Dia percaya bahawa dengan kasih sayang, dia boleh membantu menonjolkan yang terbaik dalam diri anaknya.
Permulaan

Permulaan
Kerja sekolah yang selalu tidak siap, keputusan peperiksaan yang teruk dan gagal dalam matapelajaran telah membuatkan seorang guru yang prihatin menyarankan agar saya membawa anak saya membuat penilaian oleh golongan profesional.
Setelah dua tahun menempuhi kesukaran yang tidak berkesudahan, Mu’az akhirnya didiagnosis dengan ADHD pada usia sembilan tahun. Bagaimana pula dengan perasaan saya sebagai seorang ibu? Tak usah kata lah, ketar lutut saya dibuatnya! Saya berasa sangat risau sewaktu saya membawa dia untuk mendapatkan diagnosis.
Semasa kami menunggu keputusan diagnosis, saya membaca beberapa buku ADHD sebagai persediaan diri saya untuk mengelakkan berasa lebih cemas. Hasil pembacaan, sedikit pengetahuan dan kesedaran yang diperolehi itu telah membantu saya untuk bangkit semula dengan lebih cepat apabila diagnosis disahkan, walaupun pada mulanya saya berasa sangat hancur dan putus asa.
Mu’az dinasihatkan untuk menjalani Terapi Carakerja (Occupational Therapy) kerana dia bukan seorang yang aktif. Pakar terapi mengajarnya teknik pernafasan yang betul dan beberapa senaman ringan untuk melegakan keletihannya. Dia juga diajar untuk mempunyai waktu belajar yang lebih singkat dengan selingan waktu rehat di antara waktu belajarnya.
Mu’az juga berjumpa dengan seorang ahli psikologi pendidikan di mana dia diajar cara untuk berkomunikasi dengan lebih baik dalam situasi yang berbeza dan cara untuk belajar dengan lebih baik. Kaedah-kaedah yang diajarkan ini membantunya dalam mengekalkan persahabatan dengan rakan-rakannya. Sukar bagi keluarga dan rakan-rakan Mu’az untuk mempercayai bahawa dia mempunyai ADHD kerana dia tidak hiperaktif. Walhal, sebenarnya ini merupakan tanggapan yang salah kerana terdapat beberapa jenis ADHD, bukan hanya bagi mereka yang menonjolkan ciri hiperaktif.
Cabaran yang dihadapi oleh anak saya
Memandangkan Mu’az mempunyai ADHD jenis kurang tumpuan-impulsif (inattentive-impulsive type), dia sering termenung di dalam kelas apabila mata pelajaran tidak menarik minatnya. Dia juga sering bergelut untuk mengingati apa yang perlu dilakukan seterusnya. Untuk membantunya menjalankan tugas, saya sama ada secara lisan memecahkan arahan saya kepada beberapa bahagian, atau menulis arahan saya di atas kertas. Hal ini disebabkan oleh, kaedah maklumat visual bertahan lebih lama dan memberikan gambaran yang lebih jelas terhadap apa yang perlu dilakukan berbanding melalui maklumat lisan.
Di samping isu perhatian dan tumpuan, kanak-kanak ADHD sering bergelut dengan masalah rendah diri dan perasaan yang menebal dalam diri bahawa tidak kira betapa sukarnya mereka mencuba, mereka tidak dapat mengawal badan mereka.
Sejak Darjah Dua, anak saya terpaksa bersusah-payah dalam pembelajarannya. Dia seringkali gagal dalam peperiksaan di sekolah. Muaz sering mencuba sedaya-upaya untuk memaksa dirinya berusaha lebih keras, namun, setiap kali dia memaksa dirinya untuk berusaha dengan lebih kuat, lobus hadapan otaknya (frontal lobe) akan menjadi terlalu terangsang sehingga dia akan menangis disebabkan sakit migrain. Dia cuba sedaya upaya untuk memahami dengan lebih baik apa yang dipelajarinya, dia benar-benar telah berusaha, namun, kadang-kadang otaknya tidak memberi kerjasama.
Walaupun begitu, Mu’az tidak pernah berputus asa. Dia terus tekun belajar. Berkat usaha yang berterusan, tekad yang teguh, dan kerja keras, Mu’az akhirnya menerima beberapa anugerah pencapaian akademik sepanjang perkembangan pelajarannya selama 18 tahun hidupnya.
Sungguhpun begitu, Mu’az masih berdepan cabaran dalam meluahkan perasaan dan fikirannya melalui kata-kata. Dia menghabiskan lebih banyak masa untuk menerangkan apa yang difikirkannya kerana dia mempunyai proses pemikiran yang lebih perlahan. Jika seseorang menyuruhnya berkomunikasi dengan lebih pantas, perasaan Mu’az akan tersentuh lantas dia akan berasa kecewa dan marah. Ketidakupayaannya untuk mendapatkan prestasi yang baik di sekolah dan kemahiran sosio-emosi yang lemah telah menyebabkan dia berasa kecewa setiap hari. Perasaan kecewa dan membuak-buak yang terbina saban hari menyebabkan Mu’az berasa rendah diri, bimbang dan tidak yakin.
Kami kemudiannya disyorkan untuk berjumpa ahli psikologi keluarga. Saya suka sesi perjumpaan kami bersama ahli psikologi keluarga kerana hubungan kami sekeluarga menjadi lebih mesra disebabkan hal ini. Melalui setiap kejayaan serta cabaran yang Mu’az hadapi, kami sekeluarga dapat berbincang dengan efektif dengan bantuan ahli psikologi sebagai pengantara.
Janji yang saya buat untuk menyokong anak saya
Selepas melakukan beberapa pembacaan dan kajian, saya telah melaksanakan sistem daya tindak (coping systems) yang berikut untuk Mu’az:
🌷 Bagi membina dan meningkatkan kesabarannya, saya menggalakkan dia melibatkan diri dalam hobi-hobi seperti origami dan melukis.
🌷 Bagi memastikan fikirannya cerdas dan badannya cergas, saya mengajarnya kemahiran baharu seperti menjahit, membuat kek dan berkebun.
🌷 Saya senantiasa mengingatkan dia untuk mendekatkan diri kepada Tuhan dan berpegang teguh kepada agama dengan cara menghitung rahmat Tuhan. Saya menerapkan supaya Mu’az sentiasa mencari sesuatu yang positif dalam setiap situasi yang sukar.
🌷 Demi meningkatkan motivasi Mu’az, saya selalu berkongsi kisah kejayaan individu ADHD yang lain kepadanya. Mu’az mendapati bahawa kisah-kisah individu ADHD lain membuatkan dia terinspirasi untuk menjadi seorang individu ADHD yang berjaya juga.
🌷 Saya menerapkan dan memberi galakan kepada Mu’az untuk mempunyai gaya pemikiran yang membina (growth mindset) supaya dia dapat berdepan dengan cabaran lantas mencapai matlamatnya.
🌷 Saya memastikan nutrisi pemakanan yang seimbang di samping memberikan suplemen, minyak ikan dan minyak pati kepada Mu’az untuk membolehkan tumbesaran sihat bagi jasmani dan minda.
Sebagai seorang ibu, sudah pasti saya mahukan yang terbaik untuk anak saya. Demi memastikan Mu’az dapat terus mengembangkan potensi diri dan mencapai kejayaan – tidak kira kejayaan besar mahupun kejayaan kecil, sebagai ibu, menjadi tanggungjawab saya untuk membimbingnya sehingga berjaya. Oleh itu, saya amat percaya dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat. Saya tekad menimba ilmu baru dengan penuh ghairah agar saya boleh terus membantu anak saya.
Maka, saya mengambil langkah-langkah seperti:
🌷 Menghadiri program keibubapaan ‘Triple P’ dan bengkel ibu bapa yang lain.
🌷 Membeli atau meminjam buku ADHD.
🌷 Menyertai Kumpulan Sokongan Ibu Bapa Berkeperluan Khas di sekolah anak saya.
🌷 Mengikuti laman sosial, laman sesawang, kumpulan sokongan, dan saluran Youtube berkaitan ADHD.
🌷 Mengenal pasti bahasa-bahasa cinta (love languages) Mu’az untuk memenuhi keperluannya.
🌷 Meluangkan masa untuk mengetahui apa yang dia suka dan tidak suka.
Inilah antara komitmen yang saya tetapkan untuk diri saya – sebagai guru pertama Mu’az dalam hidupnya. Saya tidak akan berputus asa dalam misi mendukung dan membangunkan anak saya kerana dia layak melihat saya sebagai ikon kepadanya – sebagai juaranya!
Berdasarkan ilmu pengetahuan berkenaan ilmu keibubapaan dan ADHD, saya lebih memahami cabaran dan rintangan yang dilalui anak saya.
Apabila saya belajar menerima ujian yang ditimpa diri – belajar menerima dan menyayangi Mu’az seadanya, saya menjadi seorang yang lebih penyabar, lebih pemaaf, lebih menghormati, lebih gembira dan lebih tenang terhadap anak saya. Dia benar-benar layak mendapat kasih sayang sepenuhnya tanpa batasan daripada saya, kerana dia lah amanah dan hadiah Tuhan paling bermakna buat saya!